RYAN Lambert meraikan jaringan ketiga bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super bertemu Sarawak United FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
RYAN Lambert meraikan jaringan ketiga bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super bertemu Sarawak United FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Finalis Piala AFC Antara Zon, Kuala Lumpur City FC (KL City) meraih momentum terbaik sebelum aksi final di Uzbekistan pada Rabu depan apabila membelasah Sarawak United 5-0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

KL City yang dijadual berdepan FC Sogdiana Jizzakh di pentas final nyata sudah bersedia untuk melakar kejutan nanti.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras itu, gol pertama tuan rumah diraih menerusi ketua pasukan, Paulo Josue di minit 28 apabila dia mudah melepaskan rembatan dalam kotak penalti hasil gerakan menarik J Partiban dan Akram Mahinan.

Seminit kemudian KL City terus mengukuhkan kelebihan dengan kali ini Ryan Lambert meledak dengan sepakan voli menarik buat menewaskan Tauffiq Ar Rasyid buat kali kedua.

Penyokong tuan rumah terus melonjak gembira di minit 41 apabila Ryan sekali lagi mencetak nama selaku penjaring buat meletakkan pasukannya mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, anak buah Bojan Hodak terus garang dengan Ryan melakar hatrik pada minit 53 dan ia adalah hatrik pertamanya dalam Liga Super.

Penyerang gantian, Jordan Mintah menambah gol kelima di minit 85 untuk melengkapkan malam penuh gemilang buat tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 11:11 PM