SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO FB FAM
SETIAUSAHA Agung FAM, Noor Azman Rahman. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diiktiraf sebagai badan sukan kebangsaan bertaraf lima bintang oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi 2021, hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, pengiktirafan itu pastinya melonjakkan lagi semangat barisan Ahli Jawatankuasa FAM untuk terus memacu badan induk itu sebagai antara yang terbaik dalam urus tadbir dan pengurusan.

"Terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif badan induk yang banyak membantu dan menyusun sebaiknya pengurusan dan pentadbiran.

"Malah, terima kasih kepada semua kakitangan FAM yang melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Ini menunjukkan kualiti pentadbiran di bawah Hamidin yang cukup baik dan perlu diteruskan agar kita kekal dengan penarafan lima bintang ini.

"Pencapaian ini kita raih hampir setiap tahun dan sebenarnya bukan mudah untuk kekal kerana nak menguruskan kewangan dan perbelanjaan sukar sebenarnya," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Penarafan lima bintang itu diberi berdasarkan beberapa kriteria seperti dokumen laporan tahunan, pemeriksaan premis, laporan kewangan, minit mesyuarat tahunan, sistem penyusunan fail, rekod pentadbiran dan rekod perancangan dan pembangunan.

Sebelum ini, FAM turut memenangi anugerah sama apabila diiktiraf sebagai badan sukan dengan lima bintang bagi 2018, 2019 dan 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 8:41 PM