KETUA pasukan Penang FC (PFC), Lucas Espindola Da Silva (kanan) meraikan jaringan gol ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini, malam tadi. FOTO Danial Saad
KETUA pasukan Penang FC (PFC), Lucas Espindola Da Silva (kanan) meraikan jaringan gol ketika menentang Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini, malam tadi. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan anak buahnya menunjukkan kesungguhan luar biasa demi mencipta kemenangan 1-0 dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau berkata, perlawanan itu ibarat soal hidup dan mati pasukannya terutamanya dalam membangkitkan semangat serta mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap skuad Harimau Kumbang yang dilihat kian menyusut kebelakangan ini.

"Alhamdulillah kita tahu (ini perlawanan) hidup dan mati pasukan pada malam ini dan tidak semestinya masa hidup dan mati sahaja bermain begini tetapi malam ini pemain memberi segala-galanya dan dengan sepenuh hati mereka.

"Tiap-tiap pemain telah berkorban walaupun kita banyak terlepas peluang keemasan dan ada juga terdapat kelalaian tetapi akhirnya kita dapat menjaringkan gol.

"Kemenangan ini amat penting kerana apabila pasukan 'down' dan berada dalam keadaan tertekan selain memudahkan saya menjalankan pasukan ini pada perlawanan seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Zainal Abidin tidak menafikan ketumpulan jentera serangan Penang FC yang menyaksikan banyak peluang keemasan disia-siakan terutamanya pada separuh masa pertama namun penyudah terbaik akhirnya mengesahkan kemenangan pasukan buat kali kedua pada musim ini.

Menurutnya, dalam situasi pemain melakukan kesilapan adalah penting untuk membantu mereka meningkatkan keyakinan dan semangat juang sekali gus memastikan diri masing-masing relevan dalam pasukan.

"Contohnya, kita tahu Hafizul Hakim seorang penjaga gol yang bagus tetapi gol yang mudah-mudah (bolos) sebelum ini mungkin akan menghakis keyakinan dia jika berlarutan.

"Jadi semasa latihan Khatul Anuar yang diturunkan kali ini menunjukkan dia sepatutnya bermain dan pada malam ini (semalam) begitu cemerlang dalam menafikan gol lawan," katanya.

Beliau turut berharap peminat sukan itu akan terus memberi sokongan terhadap Penang FC terutamanya dalam saingan Liga Super yang berbaki tiga perlawanan lagi.

Dalam perlawanan semalam, kapten Penang FC, Lucas Espindola Da Silva muncul hero pasukan apabila meledak gol tunggal pasukan tuan rumah pada minit ke-76 menerusi hantaran lintang daripada Rafiuddin Roddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 2:32 PM