VAN Gaal akan melakukan sesi latihan khas buat penjaga gol untuk penentuan penalti. FOTO AFP
VAN Gaal akan melakukan sesi latihan khas buat penjaga gol untuk penentuan penalti. FOTO AFP
Reuters

Amsterdam: Belanda akan menguji penjaga gol mereka dalam sesi latihan penentuan sepakan penalti khas minggu ini sebagai persiapan menjelang Piala Dunia akhir tahun ini, kata jurulatih Louis van Gaal pada Isnin.

Beliau menyenaraikan empat penjaga gol untuk saingan Liga Negara-Negara minggu ini menentang Poland dan Belgium ketika Belanda ingin menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas dan mara ke pusingan akhir Jun depan.

Bagaimanapun, Van Gaal berkata keutamaan adalah persiapan terakhir untuk Piala Dunia di Qatar pada November, di mana Belanda diundi dalam Kumpulan A menentang tuan rumah, Ecuador dan Senegal.

Beliau memanggil dua lagi penjaga gol untuk sesi khas menyelamatkan sepakan penalti.

"Saya sedang mencari penyelamat sepakan penalti terbaik dan kami sedang menguji semua penjaga gol," katanya.

Van Gaal mencipta nama pada Piala Dunia 2014 apabila menukar penjaga gol beberapa minit sebelum tamat masa tambahan perlawanan suku akhir menentang Costa Rica di Brazil.

Beliau membawa keluar Jasper Cillessen dan memasukkan Tim Krul, yang kemudiannya menyelamatkan sepakan penalti untuk memastikan kemenangan Belanda.

"Saya sentiasa mencari kelebihan kecil dan sebab itu saya memberi perhatian khusus kepada isu ini.

"Kami mengimbas kembali masa lalu bagaimana penentuan sepakan penalti memainkan peranan besar di Piala Dunia," katanya.

Van Gaal berkata beliau akan memilih empat penjaga gol dalam skuad 26 pemainnya untuk Piala Dunia jika dibenarkan.

"Saya belum pasti lagi kerana FIFA belum memberi penjelasan kepada kami mengenai isu ini tetapi saya fikir ia logik untuk berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 9:11 AM