PEMAIN sayap Terengganu FC, Faisal Abdul Halim (tengah) cuba melepasi pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
PEMAIN sayap Terengganu FC, Faisal Abdul Halim (tengah) cuba melepasi pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Pengendali sementara Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui Terengganu FC (RFC) beruntung memiliki pemain lincah seperti Faisal Halim yang disifatkan sebagai punca pasukannya gagal meraih mata, malam tadi.

Skuad Red Giants tumbang 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang juga kekalahan ketiga berturut-turut pasukan itu selepas tewas 2-0 kepada Sri Pahang dan 2-3 kepada Negeri Sembilan FC.

Jelas Nidzam yang bekas pemain kebangsaan dan Selangor itu, kelincahan Faisal terbukti menerusi pembabitannya dalam dua gol pelawat tatkala anak buahnya gagal mengekang pergerakan pemain sayap itu.

"Saya rasa Terengganu beruntung sebab ada pemain seperti Faisal yang memberi impak cukup besar dan ia boleh dilihat dengan pembabitannya dalam dua gol dijaringkan Terengganu.

"Kita tahu Faisal akan bagi banyak ancaman kepada kita kerana dia mempunyai skil individu cukup bagus, malah pemain pertahanan saya Quentin Cheng berdepan masalah untuk mengatasi kelajuannya," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, dua gol Terengganu disumbangkan hasil rembatan tepat Habib Haroon di minit ke-13 sebelum Manuel Ott menambah gol di minit ke-39 selepas menerima hantaran cantik Faisal.

Katanya, beliau terpaksa membuat pertukaran di babak kedua bagi mengekang pergerakan Faisal dan usaha itu berjaya, namun gol dicari tidak berlaku kerana ketumpulan di jentera depan.

"Pada perlawanan malam ini, kita ada dua babak berbeza iaitu pada separuh masa pertama kita sedikit leka dan dihukum dengan dua gol.

"Bagaimanapun untuk separuh masa kedua, kita tukar sedikit taktik dengan harapan dapat gol, tapi malangnya ia tidak berlaku," katanya.

Berikutan keputusan itu, Selangor jatuh ke tangga kesembilan liga, manakala Terengganu menduduki tempat keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:14 PM