STADIUM Al Bayt yang akan menjadi gelanggang pembukaan Piala Dunia 2022. FOTO Reuters
STADIUM Al Bayt yang akan menjadi gelanggang pembukaan Piala Dunia 2022. FOTO Reuters
AFP

Doha: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) secara rasminya mengubah perlawanan pembukaan Piala Dunia tahun ini sehari lebih awal iaitu pada 20 November membabitkan aksi tuan rumah, Qatar.

Eksekutif badan induk berkenaan meluluskan keputusan itu, manakala Qatar berkata akan memberikan bantuan (yang tidak dinyatakan) kepada peminat yang terjejas oleh perubahan itu.

Berdasarkan jadual asal, Qatar akan menentang Ecuador pada 21 November iaitu perlawanan perasmian namun Senegal menentang Belanda adalah aksi sulung, manakala England bertemu Iran pula menjadi pertembungan kedua.

"Tuan rumah, Qatar sekarang ini akan menentang Ecuador pada Ahad 20 November sekali gus menjadi aksi tunggal untuk hari bersejarah berkenaan.

"Perlawanan dan upacara pembukaan Piala Dunia tahun ini di Stadium Al Bayt diubah sehari awal berikutan keputusan sebulat suara yang dilakukan biro Majlis Fifa hari ini.

"Perubahan itu memastikan kesinambungan tradisi lama menandakan permulaan Piala Dunia dengan upacara pembukaan sempena perlawanan pertama sama ada membabitkan tuan rumah atau juara bertahan," tambah Fifa.

Di bawah perubahan baharu itu, perlawanan Kumpulan A antara Senegal dan Belanda telah ditukar dari 1 petang (1000 GMT) pada 21 November kepada 7 malam. Tiada perubahan pada perlawanan pembukaan Kumpulan B England menentang Iran.

Penganjur Qatar, yang membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk persiapan acara itu, segera mengalu-alukan keputusan Fifa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 10:25 AM