PENYERANG Kelantan  FC, Nursyamil Abd Ghani (kanan) terjatuh ketika menentang Perak FC. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENYERANG Kelantan FC, Nursyamil Abd Ghani (kanan) terjatuh ketika menentang Perak FC. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Insiden balingan mercun dan batu mencemari perlawanan Liga Perdana yang menyaksikan Kelantan FC kecundang 1-2 kepada Perak FC di di Stadium Sultan Muhammad IV, petang ini.

Penyokong dipercayai membaling mercun menyebabkan berlaku kekecohan dari tempat duduk penonton sehingga ke tengah padang sebelum melarat ke perkarangan stadium.

Batu dibaling penyokong turut menyebabkan cermin bas membawa pemain Perak FC retak.

Tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi gol pembukaan Jasmir Mehat seawal minit pertama perlawanan.

Namun, pada minit ke-14, kapten Perak FC, Wan Zack Haikal menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan deras.

Enam minit berselang, kesilapan pertahanan tuan rumah, Khairul Helmi yang tertanduk bola ke gawang sendiri membolehkan Perak FC mendahului 2-1.

Memasuki babak kedua, Kelantan melancarkan serangan demi serangan untuk memburu gol penyamaan.

Tindakan pemain pelawat melengahkan perlawanan serta gelagat pemain import Perak, Sunday Kolawole menari dan membuat provokasi di tepi pintu gol turut menjadi punca kemarahan penyokong Kelantan.

Keputusan 1-2 itu mengakhiri rekod tanpa kalah Kelantan di tempat sendiri, walaupun masih kekal di persada liga dengan 32 mata daripada 14 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 9:43 PM