KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar (tengah) menanduk masuk gol tunggal ketika menewaskan Sarawak United FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar (tengah) menanduk masuk gol tunggal ketika menewaskan Sarawak United FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sabah FC menewaskan Sarawak United 1-0 di Stadium Likas, malam ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super di belakang JDT.

Gol tunggal tandukan kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-62 sudah cukup untuk memastikan Sabah FC mengutip tiga mata di halaman sendiri.

Walaupun Sabah FC mendominasi permainan sebaik wisel ditiup, mereka membolosi gol lawan sehinggalah babak pertama berakhir.

Peluang terbaik di separuh masa pertama menerusi tandukan Saddil Ramdani yang menerima hantaran Alto Linus pada minit ke-43, namun, cubaannya itu terus ke dakapan penjaga gol Sarawak United FC, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Bersambung babak kedua, Sabah FC terus melakukan serangan dan kemasukan Amri Yahyah hampir memperoleh jaringan pada minit ke-49 namun sepakannya ditepis keluar.

Pada minit ke-50, percubaan Saddil Ramdani terkena tiang gol pasukan Sarawak United FC.

Akhirnya, jaringan ditunggu-tunggu hadir pada minit ke-62 menerusi tandukan Baddrol hasil hantaran cantik Saddil Ramdani.

Sabah FC hampir memperoleh jaringan kedua pada minit-70 menerusi voli Taiki Kagayama, namun berjaya ditepis penjaga gol pasukan lawan.

Sabah FC kini di tangga kedua liga dengan 34 mata hasil 15 perlawanan manakala JDT kekal di tangga teratas dengan 35 mata daripada 13 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 11:04 PM