ADA barisan pemain England yang belum mengambil vaksin. FOTO Agensi
ADA barisan pemain England yang belum mengambil vaksin. FOTO Agensi
Agensi

London: Jurulatih England, Gareth Southgate mungkin mengetepikan beberapa pemain daripada skuad Piala Dunianya kerana keengganan mereka untuk mengambil vaksin Covid-19.

Difahamkan segelintir pemain yang dijangka akan berada dalam senarai 26 pemain ke Qatar masih belum mengambil vaksin sekali gus bermakna mereka perlu menjalani kuarantin selama lima hari selepas tiba di negara itu pada November depan.

Perlawanan Piala Dunia pertama England adalah pada hari pembukaan kejohanan iaitu 21 November, hanya enam hari selepas ketibaan mereka di Qatar.

Bermakna mana-mana pemain yang perlu mengasingkan diri tidak akan dapat menjalani latihan bersama pasukan.

Oleh itu, Southgate perlu memikirkan pilihan terbaik seperti mengetepikan pemain yang tidak mengambil vaksin dalam skuadnya seperti dilakukan oleh Chelsea dan Crystal Palace pada jelajah pramusim mereka atau membawa jumlah pemain yang kurang.

Isu penolakan vaksin juga memberi kesan kepada pasukan Piala Dunia yang lain seperti Perancis, dengan N'Golo Kante salah seorang daripada beberapa bintang antarabangsa yang masih belum diberi vaksin.

Bagaimanapun masalah dihadapi England lebih sukar kerana mereka perlu beraksi pada perlawanan pembukaan.

Fifa difahamkan sedang melobi Qatar untuk melonggarkan peraturan vaksin Covid sebelum kejohanan itu.

Isu vaksinasi pemain menjadi topik hangat dalam Liga Perdana musim panas ini.

Crystal Palace terpaksa membawa hanya 10 pemain senior dalam jelajah pramusim mereka ke Singapura dan Australia berikutan beberapa skuad mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara-negara itu.

Pengurus Palace, Patrick Vieira terpaksa menyaksikan anak buahnya beraksi tanpa beberapa pemain berprofil tinggi termasuk Wilfried Zaha, Eberechi Eze, Marc Guehi dan Michael Olise.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 12:12 PM