CHE Rashid Che Halim bertekad bantu NSFC. -FOTO Ihsan NSFC
CHE Rashid Che Halim bertekad bantu NSFC. -FOTO Ihsan NSFC
Oleh Mohd Amin Jalil

my

Seremban: Selepas memperaga aksi mantap menewaskan Sri Pahang FC, minggu lalu, Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak rela rekod cemerlangnya itu lebur apabila menentang Sabah FC, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Minggu lalu skuad Hobin Jang Hobin mencatat kemenangan besar 3-0 ke atas Sri Pahang di gelanggang yang sama.

Pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim, berkata dia dan rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik dan mahu memastikan tiga mata kekal milik pasukannya.

Menurutnya, kemenangan yang diraih ke atas Sri Pahang, bakal menjadi pembakar semangat buat semua pemain untuk mengekalkan persembahan terbaik dan memastikan kemenangan.

"Insya Allah, saya dan rakan sepasukan akan berusaha memberikan persembahan terbaik dengan memastikan tiga mata kemenangan kekal dalam genggaman pasukan.

"Biarpun cabaran berdepan Sabah kali ini berbeza berbanding ketika kami bertemu pada aksi awal musim, tapi kami sudah bersedia untuk memastikan kelebihan yang kami miliki ini dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mendapatkan kemenangan.

"Kami tidak rela tiga mata yang amat berharga itu terlepas ke tangan pasukan lawan, ketika peluang beraksi di laman sendiri yang memberi kelebihan," katanya di sini, hari ini.

Che Rashid yang pernah beraksi bersama Melaka United FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) berkata, biarpun beraksi di hadapan penyokong sendiri, dia dan rakan sepasukan akan tetap berhati-hati dengan kebangkitan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu.

Menurutnya, dia akui pasukan lawan itu yang memerlukan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta liga sudah pasti mereka akan memberikan tentangan habis-habisan bagi menyekat usaha kami untuk mendapatkan kemenangan.

"Namun begitu kami sudah mempersiapkan diri dan saya yakin rakan-rakan akan bekerja keras untuk mempertahankan maruah dan reputasi pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:29 PM