SESI latihan skuad B-19 negara menjelang perlawanan pembukaan AFF. FOTO Ihsan FAM
SESI latihan skuad B-19 negara menjelang perlawanan pembukaan AFF. FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Barisan pemain skuad bawah 19 (B-19) tahun negara sedia memenuhi sasaran separuh akhir yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam saingan Piala AFF B-19 di Indonesia yang bermula hari ini.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B bagaimanapun hanya akan memulakan kempen Selasa ini dengan aksi pertama menentang Kemboja, diikuti Singapura (Khamis), Timor Leste (Sabtu) dan Laos (Isnin depan).

Menurut penyerang skuad Harimau Muda itu, Abdul Rahman Daud, sasaran yang diletakkan itu bukanlah satu tekanan kerana percaya ia mampu direalisasikan.

"Sasaran yang diletakkan untuk ke separuh akhir tidak memberi kami tekanan langsung kerana kami percaya dengan pasukan yang kami ada.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing dan saya percaya kami mampu beri aksi terbaik di Piala AFF nanti," kata pemain Selangor FC itu.

Nada sama turut diluahkan penjaga gol, Syahmi Adib yang mahu berjumpa dengan pasukan Vietnam dan Indonesia di peringkat kalah mati nanti.

"Vietnam adalah sebuah pasukan yang berada dalam kelas mereka tersendiri, manakala Indonesia pula seteru utama negara sejak sekian lama.

"Saya yakin dengan sasaran untuk mara ke pusingan separuh akhir seperti yang diletakkan oleh pihak pengurusan," kata Syahmi.

Untuk rekod, pencapaian skuad B-19 di kejohanan itu cukup cemerlang di mana Malaysia adalah naib juara edisi lalu di Vietnam pada 2019.

Pada 2018 pula, skuad muda negara muncul juara selepas menewaskan Myanmar di perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 5:04 PM