CONTE kekal bersama Tottenham Hotspur. -FOTO AFP
CONTE kekal bersama Tottenham Hotspur. -FOTO AFP
Agensi

London: Penyokong Spurs kini boleh menarik nafas lega apabila pengendali pasukan itu Antonio Conte bersetuju untuk terus kekal bersama mereka musim depan.

Masa depan Conte mula menjadi persoalan biarpun berjaya membawa Spurs ke Liga Juara-Juara musim depan selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan membelasah Norwich 5-0.

Namun selepas dimaklumkan bahawa pemilik kelab, Enic bersetuju untuk memberi suntikan dana 150 juta pound (RM830.1 juta) untuk mendapatkan pemain pada musim perpindahan ini, Conte bersetuju untuk terus kekal bersama kelab itu.

Perkara itu disahkan selepas mesyuarat di Turin antara Conte dan pengarah bola sepak Spurs, Fabio Paratici dengan masing-masing bertekad untuk memastikan misi memperkuatkan skuad dapat direalisasikan.

Antara sasaran utama Conte ialah gandingan Inter Milan - Alessandro Bastoni dan Ivan Perisic, pemain Middlesbrough yang dipinjamkan ke Nottingham Forest - Djed Spence, Christian Eriksen serta penyerang sokongan untuk Harry Kane.

Conte juga akan dibantu untuk melepaskan pemain yang tidak dikehendakinya. Antaranya Tanguy Ndombele, Giovani Lo Celso, Bryan Gil, Emerson Royal dan Harry Winks.

Berita itu pasti melegakan peminat Spurs dan pada masa sama ia akan membantu pengerusi kelab Daniel Levy untuk memujuk Kane menandatangani kontrak baharu di Lane.

Kane dilaporkan bersedia untuk kekal bersama Conte bagi memburu trofi pertama bersama Spurs. Usaha mendapatkan bintang Manchester City, Gabriel Jesus juga meningkatkan keyakinan pemain-pemain kelab utara London itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 10:55 AM