KHAIRULAZHAN mahu melakukan yang terbaik. FOTO FAM
KHAIRULAZHAN mahu melakukan yang terbaik. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kegagalan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara membawa pulang pingat di temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam diakui sedikit sebanyak memberi kesan kepada skuad senior negara menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023, bulan depan.

Situasi itu diakui penjaga gol kebangsaan, Muhammad Khairulazhan Khalid yang mengakui harapan kini diletakkan di bahu pasukan senior untuk meraih keputusan lebih positif selepas ini.

Bagaimanapun, penjaga gol Selangor FC itu enggan menjadikan ia halangan, apabila menegaskan skuad negara bersedia memberikan aksi terbaik di pusingan kelayakan itu serta dua aksi persahabatan menentang Brunei pada Jumaat ini dan Hong Kong, Rabu depan.

"Mungkin ada tekanan, tapi kita akan buat terbaik dan bagi 100 peratus.

"Kita bermain di tempat sendiri, jadi sokongan itu beri kelebihan kepada kita. Jadi semua pemain tahu apa yang patut dilakukan masa perlawanan dan aksi persahabatan nanti," katanya.

Dalam kempen kelayakan itu nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E dan akan membuka tirai bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, sebelum menentang Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun), dengan semua aksi terbabit berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ditanya mengenai persaingan merebut tempat dalam pasukan, pemain yang berasal dari Pahang itu menyerahkan segala-galanya di tangan pengendali pasukan, Kim Pan-gon untuk membuat pilihan.

"Kita sedia tahu posisi penjaga gol ini semua ada kelebihan masing-masing, jadi saya akan buat yang terbaik dalam latihan, kalau diberi peluang InsyaAllah saya akan buat terbaik untuk pasukan.

"Kelebihan pada diri saya mungkin jurulatih nampakā€¦apa kelebihan pada diri saya itu atas jurulatih punya keputusan. Andai diberi peluang, saya akan beri terbaik dan beri 100 peratus," katanya.

Selain Khairulazhan, Pan-gon turut menyenaraikan tiga lagi penjaga gol berpengalaman iaitu Farizal Marlias, Kalamullah Al-Hafiz dan Ahmad Syihan Hazmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 4:49 PM