HADI Fayyadh  (kanan) diasak pemain Vietnam, Anh Bui Hoang Viet. FOTO Eizairi Shamsudin
HADI Fayyadh (kanan) diasak pemain Vietnam, Anh Bui Hoang Viet. FOTO Eizairi Shamsudin
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Menang dipuji kalah dikeji. Itu senario terpaksa diharungi beberapa tonggak skuad bawah 23 tahun (B-23) selepas tewas di tangan Vietnam dalam aksi separuh akhir temasya Sukan Sea Hanoi semalam.

Ia jelas dapat dilihat dalam hantaran pemain tengah skuad B-23, Nik Akif Syahiran apabila terdapat segelintir netizen menyerang dengan kata-kata sinis termasuklah turut menyindir penyerang negara, Hadi Fayyadh.

Menerusi hantaran itu, Nik Akif dilihat berpuas hati dengan pencapaian yang diraih mereka ketika ini selain menyifatkan hasil titik peluh mereka itu terbalas.

"Alhamdulillah, kerja keras kami akhirnya terbalas, mari kita kekalkan momentum ini," katanya menerusi hantaran di Instagram. Ia disusuli komen dari penyerang negara, Hadi Fayyadh yang mengibaratkannya sebagai pemain tengah Real Madrid, Luka Modric. Kemudian dia membalas dengan menyamakan Hadi seperti penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.

Walaupun ia mungkin sekadar gurauan diantara kedua pemain itu namun, pasti akan ada individu yang 'gatal tangan' untuk mengusik mereka dengan kata-kata sinis.

"Salahtu, Hadi Braithwaite." "Modric apa, hantaran pun ke laut," demikian usikan dari segelintir netizen.

Bagaimanapun, tetap ramai yang memuji kesungguhan serta corak permainan dipamerkan anak buah Brad Maloney itu selain menyifatkan mereka mampu tampil dengan prestasi lebih baik pada masa akan datang.

Terdahulu, skuad Harimau Muda gagal melayakkan diri ke final selepas tewas 0-1 di tangan tuan rumah, Vietnam sekali gus menyaksikan skuad negara gagal menamatkan kemarau pingat emas yang kali terakhir dimenangi 11 tahun lalu di Sukan Sea 2011 di Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 10:00 PM