ROONEY masih setia dengan Derby. FOTO Reuters
ROONEY masih setia dengan Derby. FOTO Reuters
Reuters

Liverpool: Pengurus Derby County, Wayne Rooney berkata, beliau menolak tawaran daripada bekas kelabnya, Everton yang mahu berbincang mengenai jawatan pengurus baru.

Everton sedang mencari pengendali baru selepas mereka memecat Rafa Benitez bulan ini disebabkan prestasi buruk dan melantik Duncan Ferguson sebagai pengurus sementara.

Rooney, yang juga bekas pemain Everton, sekarang ini mengendalikan pasukan divisyen dua, Derby.

"Everton membuat tawaran kepada ejen saya dan meminta saya menghadiri temuduga jawatan yang kosong itu, di mana saya sudah menolaknya.

"Saya percaya bahawa saya akan menjadi pengurus Liga Perdana Inggeris dan saya percaya saya sudah bersedia untuk itu 100 peratus dan jika dapat bersama Everton suatu hari nanti ia pasti hebat.

"Tetapi saya ada tugas di sini bersama Derby County yang juga kerja penting kepada saya," kata Rooney.

Media Britain melaporkan bekas pengurus Porto, Vitor Pereira dan bekas pengendali Chelsea, Frank Lampard dikaitkan dengan jawatan di Everton.

Everton menduduki tangga ke-16 dengan memungut 19 mata daripad 20 perlawanan dan hanya dibezakan empat mata dari zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:25 PM