MARTINEZ (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
MARTINEZ (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Reuters
Reuters

Calama: Gol sumbangan Angel Di Maria dan Lautaro Martinez menyaksikan Argentina berjaya melakar kemenangan 2-1 ke atas Chile pada kempen kelayakan Piala Dunia hari ini ketika pelawat mengumpul tiga mata penuh tanpa khidmat Lione Messi.

Argentina merehatkan Messi selepas baru pulih daripada jangkitan Covid-19 namun rakan sepasukannya di Paris Saint Germain (PSG), Di Maria menggalas tanggungjawab dengan baik dan meletakkan pelawat di depan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti selepas 10 minit perlawanan berlangsung.

Penyerang Chile, Ben Brereton menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez.

Argentina kemudian memanfaatkan kelebihan kecederaan yang menimpa penjaga gol Chile, Claudio Bravo untuk meraih kemenangan.

Bravo sudah sedia untuk digantikan namun akhirnya sekali lagi tewas selepas gagal menafikan rembatan Lautaro Martinez 11 minit sebelum berakhir babak pertama.

Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada harapan Chile untuk layak beraksi di Qatar.

Mereka kini menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul 16 mata daripada 10 pasukan Amerika Selatan ketika berbaki tiga perlawanan sahaja untuk diharungi.

Empat pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia dengan pasukan yang menduduki tempat kelima akan beraksi pada perlawanan playoff bertemu pasukan dari benua Asia.

Pendahulu, Brazil dan Argentina yang menduduki tempat kedua, sudah layak manakala Ecuador di tempat ketiga dengan mengumpul 24 mata dan hampir pasti menyertai kedua-dua pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 11:07 AM