ARTETA (kiri) menyaksikan pasukannya gagal melakar kemenangan pada tahun ini. FOTO Agensi
ARTETA (kiri) menyaksikan pasukannya gagal melakar kemenangan pada tahun ini. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsenal meraih lebih banyak kad merah berbanding jumlah jaringan pada 2022 dalam usaha mereka untuk mendapatkan kemenangan pertama tahun ini.

Skuad bimbingan Mikel Arteta sudah beraksi lima perlawanan di semua pertandingan bulan ini yang menyaksikan mereka tersingkir dalam dua saingan domestik.

Gunners dikejutkan Nottingham Forest selepas pasukan Liga Kejuaraan itu melakar kemenangan 1-0 sekali gus menyingkirkan Arsenal pada pusingan ketiga Piala FA.

Manakala Liverpool menewaskan Arsenal 2-0 di Emirates pada separuh akhir kedua Piala Liga selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan ketika aksi pertama.

Arsenal juga jatuh di tangga keenam Liga Perdana selepas tewas 1-2 kepada Manchester City dan seri 0-0 dengan Burnley.

Bukan sesuatu yang mengejutkan bahawa Arteta terdesak untuk mendapatkan penyerang berkaliber selepas kelab itu bergelut di bahagian depan.

Mereka hanya menjaringkan satu gol pada tahun ini menerusi jaringan pembukaan Bukayo Saka ketika bertemu City.

Skuad bimbingan Arteta juga menyaksikan mereka sudah meraih tiga kad merah pada tahun ini.

Gabriel dibuang padang ketika bertemu City, Granit Xhaka pula dikeluarkan di awal permainan dekat Anfield manakala Thomas Partey dilayangkan dua kad kuning pada aksi timbal balik ketika bertemu Liverpool sekali gus dibuang padang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:58 AM