RANGNICK (kiri) setakat ini mengendalikan pasukan dengan baik. FOTO AFP
RANGNICK (kiri) setakat ini mengendalikan pasukan dengan baik. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United menangguhkan hasrat mendapatkan pengurus baharu selepas Ralf Rangnick berjaya meyakinkan pengurusan kelab itu.

Pengurus sementara dari Jerman itu berjaya membimbing pasukan melakar lima kemenangan daripada lapan perlawanan liga dan hanya tewas sekali selain melangkah ke pusingan keempat Piala FA bertemu Middlesbrough minggu depan.

Meskipun keputusan itu belum cukup meyakinkan, pengurusan di Old Trafford kagum dengan cara Rangnick mengendalikan pasukan selepas mengalami penurunan prestasi sebelum ini.

Malah pihak pengurusan mahu melihat apa yang boleh dibuktikannya di antara tempoh sekarang sehingga berakhir musim ini.

Kejayaan menduduki kelompok empat terbaik liga sekali gus layak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan mungkin akan memastikannya memperoleh jawatan itu secara kekal untuk tempoh dua tahun lagi.

Rangnick, 63, berjaya menyatukan semula pasukan yang sebelum ini berpecah kepada beberapa kem.

Beliau juga berjaya mengendalikan dengan baik isu pemain yang ego di dalam kelab menerusi kenyataannya kepada umum.

Terbaru, beliau meminta Cristiano Ronaldo untuk bertenang selepas digantikan ketika bertemu Brentford di tempat lawan.

Kemenangan terbaru ke atas West Ham menyaksikan United kini menduduki tempat keempat sekali gus memberi keyakinan kepada Rangnick untuk mengharungi kempen pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 9:15 AM