Datuk Hamidin Mohd Amin
Datuk Hamidin Mohd Amin
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelantikan jurulatih Korea Selatan Korea Selatan, Kim Pan Gon sebagai pengendali baharu skuad Harimau Malaya bukannya pengakhiran kepada anak tempatan untuk berbakti bersama pasukan kebangsaan.

Walaupun, kehadiran Pan Gon kelak datang dengan pakej membabitkan empat staf kejurulatihannya namun jurulatih tempatan tetap akan dibawa masuk membantu pengendali Korea itu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kepakaran jurulatih tempatan tidak akan dipinggirkan kerana mereka juga memainkan peranan penting bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Pan Gon.

"Memang dalam perancangan kita (lantik jurulatih tempatan untuk bantu Pan Gon). Kita akan buat perkara itu.

"Memang akan ada seorang daripada jurulatih tempatan untuk membantu Pan Gon sebagai jurulatih skuad kebangsaan," katanya.

Terdahulu, terdapat cadangan supaya Pan Gon dibantu oleh seorang jurulatih yang terdiri daripada 'anak tempatan' bagi memudahkan lagi pengendali dari Korea Selatan itu merencanakan skuad Harimau Malaya.

Walaupun beliau sudah membawa empat pembantunya termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis namun kepakaran anak tempatan akan menyelesaikan beberapa isu berbangkit kelak.

Malah, cadangan itu turut dipersetujui bekas pengendali skuad kebangsaan, B Sathianathan supaya bantuan jurulatih tempatan pasti akan membuatkan tugas Pan Gon lebih 'licin' apatah lagi untuk mengharungi misi besar pada Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

"Bagi memudahkan dia (Pan Gon), dia mesti ada seorang penolong jurulatih tempatan yang berkelayakan. Seorang yang ada sijil tinggi dan ada pengalaman mendalam serta boleh memberi gambaran yang sebetulnya mengenai pemain, budaya, cara permainan dan latar belakang pemain.

"Jika tidak, dia (Pan Gon) perlu ambil masa lebih lama. Dulu masa Karl-Heinz Weigang, dia berjaya pergi ke Olimpik sebab bantuan dari penolong jurulatih tempatan.

"Walaupun dia (Weigang) ada bawa jurulatih kecergasan dari Jerman, tapi banyak bergantung kepada jurulatih tempatan yang mana ramai orang tidak tahu. Datuk Mohamad Bakar juga ada bantu Weigang.

"Saya sudah bekerja dengan tujuh jurulatih import, saya tahu kalau mereka buat andaian sendiri akan ambil masa. Saya fikir FAM pun akan tegaskan benda ini..mungkin ada perancangan untuk letak seorang jurulatih tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:55 PM