LINGARD jadi buruan Newcastle.
LINGARD jadi buruan Newcastle.
Agensi

London: Newcastle United sedia membayar gaji hampir £500,000 (RM2.82 juta) seminggu untuk mendapatkan Jesse Lingard secara pinjaman.

Tetapi mereka juga menyasarkan pemain Tottenham, Dele Alli jika gagal mendapatkan pemain Manchester United itu namun Lingard pilihan utama dan Magpies berharap dapat menyenaraikannya ketika kem latihan di Arab Saudi minggu ini.

Bintang England berusia 29 tahun itu bersama skuad United di Dubai yang mengambil masa tiga jam penerbangan dari pangkalan latihan Newcastle di Jeddah.

Red Devils menolak tawaran pertama Magpies untuk mendapatkan pemain tengah England itu yang kontraknya tamat pada musim panas.

Bidaan kedua dilakukan minggu lalu dan Magpies yang kini berdepan zon penyingkiran sedia membayar yuran pinjaman £6 juta bagi mendapatkan khidmat Lingard untuk tempoh empat bulan terakhir musim ini.

Tetapi dengan United yang masih belum membuat keputusan menyebabkan pengurus Newcastle, Eddie Howe memilih Alli sebagai alternatif.

Penyerang berusia 25 tahun itu hanya memanaskan bangku simpanan di bawah kendalian Antonio Conte. Malah dia langsung tidak tersenarai ketika tewas kepada Chelsea.

Newcastle juga masih dalam proses rundingan mendapatkan pertahanan tengah Sevilla, Diego Carlos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 10:25 AM