AKSI  Ziyech meledak jaringan menarik ketika menentang Spurs di Stamford Bridge. FOTO Reuters
AKSI Ziyech meledak jaringan menarik ketika menentang Spurs di Stamford Bridge. FOTO Reuters
AFP

London: Thomas Tuchel memuji Hakim Ziyech selepas jaringan cantik sayap Chelsea itu menghidupkan kembali peluang mereka memburu gelaran Liga Perdana menerusi kemenangan 2-0 ke atas Tottenham awal pagi tadi.

Ziyech memecahkan kebuntuan menerusi rembatan lencung menarik pada awal babak kedua di Stamford Bridge.

Tandukan Thiago Silva menamatkan terus harapan Tottenham yang berang selepas jaringan Harry Kane pada awal babak pertama dibatalkan akibat kekasaran. Silva, 37, muncul pemain tertua meledak jaringan di Liga Perdana sejak 2013 ketika bintang Manchester United, Ryan Giggs yang berusia 39 tahun membolosi gawang QPR .

Chelsea yang menduduki tangga ketiga kini 10 mata di belakang pendahulu Manchester City selepas mengakhiri empat perlawanan liga tanpa kemenangan.

"Gol menarik daripada Hakim. Tekniknya hebat dan kami bekerja keras untuk itu," kata pengendali Chelsea, Tuchel.

"Usaha itu mengagumkan dan kami berhak menang. Kami tak putus asa dan terus percaya diri sendiri."

Chelsea menewaskan Tottenham tiga kali musim ini tanpa bolos termasuk menyingkirkan musuh London itu pada separuh akhir Piala Liga.

Mereka akan berehat daripada aksi liga sehingga pertengahan Februari susulan cuti musim sejuk dan pembabitan dalam Piala Dunia Kelab Fifa.

Tetapi buat kali pertama sejak 26 Disember di Aston Villa, skuad Tuchel meraih kemenangan liga sekali gus melonjakkan kembali keyakinan dalam memburu gelaran Liga Perdana.

Kekalahan pertama Tottenham dalam 10 aksi liga sejak dikendalikan Antonio Conte menjejaskan impian mereka menduduki empat teratas apabila kini berada di tangga ketujuh, dua mata di belakang pasukan di tangga keempat Manchester United namun berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:44 AM