WAN Kuzri antara 30 pemain dipanggil sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan. FOTO OWEE AH CHUN
WAN Kuzri antara 30 pemain dipanggil sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal sekali lagi berpeluang untuk mewakili Malaysia apabila namanya tersenarai menyertai kem latihan pusat Bawah 23 (B-23) bermula 27 Januari ini.

Berdasarkan kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia memaklumkan Kuzri yang beraksi untuk pasukan Akron Zips antara 30 pemain dipanggil sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja bulan depan.

Namun, tiga tonggak utama membabitkan pemain berpangkalan di Belgium Luqman Hakim Shamsuddin, Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) dan Pemain Paling Bernilai (MVP) Arif Aiman tiada dalam senarai panggilan terbabit.

Daripada 30 pemain itu, Pengendali skuad B-23 Brad Maloney hanya mengekalkan sembilan pemain daripada skuad yang mencipta kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia tahun lalu.

Sembilan pemain itu adalah Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Shafi Azswad Sapari, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, T Saravanan dan Mohd Aiman Afif Md Afizul.

Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari depan sebelum memulakan kempen kejuaraan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Prince pada 15 Februari.

Anak buah Maloney kemudian akan berdepan Laos pada 18 Februari di venue sama dan bertemu Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke peringkat separuh akhir pada 24 Feb manakala perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 26 Februari.

Sementara itu, lima pemain yang diletakkan dalam senarai simpanan adalah dua pemain JDT III Muhammad Firdaus Kaironnisam dan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal, dua pemain Penang FC K Thivandaran dan Aidil Danial Izhar serta pemain KL City FC, Nabil Hakim Bokhari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 5:56 PM