CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
CRISTIANO Ronaldo. FOTO AFP
Agensi

London: Cristiano Ronaldo bakal menyaksikannya gajinya £385,000 (RM2.1 juta) seminggu dipotong sebanyak 25 peratus musim depan jika Manchester United gagal layak ke Liga Juara-Juara (UCL).

Bintang Portugal itu kembali ke Old Trafford dengan nilai perpindahan £20 juta (RM113.5 juta) dari Juventus tetapi dia serta kelab bergelut dengan prestasi yang menyaksikan United kini menduduki tangga ketujuh liga.

Skuad bimbingan Ralf Rangnick kini menduduki tempat ketujuh, ketinggalan dua mata di belakang West Ham di tempat keempat tetapi masih kurang satu perlawanan.

Menurut The Athletic, Ronaldo akan menyaksikan gajinya dipotong jika kelab gagal menduduki kelompok empat terbaik antara sekarang sehingga penghujung musim.

Ini bermakna, gaji £385,000 seminggu yang diperolehi Ronaldo akan berkurangan kepada £288,000 (RM1.6 juta) seminggu sekali gus gaji terendah pernah diterima bintang berusia 36 tahun itu sejak beberapa tahun lalu.

Ronaldo sudah menjaringkan 14 gol daripada 23 perlawanan sejak kembali ke United pada musim panas lalu.

Namun hanya lapan daripada jumlah itu dijaringkan di Liga Perdana.

Bintang Portugal itu lebih menyerlah di pentas Liga Juara-Juara apabila menjaringkan gol dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan untuk United pada musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:57 PM