AZRI berhijrah ke KL City pada musim baharu. FOTO MFL
AZRI berhijrah ke KL City pada musim baharu. FOTO MFL
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penjaga gol baharu Kuala Lumpur City FC (KL City), Azri Ghani ingin menimba ilmu dengan penjaga gol import, Kevin Ray Mendoza tanpa terlalu memikirkan usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini.

Dia yang mengikat kontrak selama dua tahun bersama skuad kendalian Bojan Hodak itu tidak ingin terburu-buru untuk terus berada di penjaga gol utama sebaliknya mahu mendapatkan pengalaman baharu terlebih dahulu bersama Mendoza dalam latihan untuk lebih cemerlang seperti mana yang dilakukan oleh penjaga gol dari Filipina itu pada musim lalu.

Apa yang penting adalah komitmen dalam memastikan dirinya mampu mempertaruhkan aksi terbaik kerana sasarannya adalah pada musim 2023 untuk dijadikan sandaran utama dalam pasukan.

"Memang cabaran besar sebenarnya apabila berpindah ke Kuala Lumpur, tapi yang bagusnya adalah saya akan dapat pengalaman baharu dengan Kevin (Kevin Mendoza).

"Ini juga akan menjadi tanggungjawab saya sebab boleh belajar dan ambil ilmu dengan dia sebab kita tahu bagaimana dia dah melakukan tugas yang cukup baik pada tahun lepas.

"Jadi, memandangkan saya ikat kontrak selama dua tahun, untuk musim pertama ini saya akan belajar banyak benda dahulu dan selepas itu saya sasarkan musim kedua adalah musim saya untuk menjadi lebih baik.

"Saya akan beri komitmen yang terbaik untuk belajar supaya jurulatih (Bojan Hodak) juga akan nampak usaha keras saya," katanya.

Menjelang saingan Piala AFC 2022, bekas pemain Perak FC ini menjangkakan KL City mampu melakar kejutan di mana dia juga tidak ingin terlepas untuk beraksi di pentas Asia selepas kali terakhir beraksi ketika bersama Kedah Darul Aman FC pada musim 2020.

KL City diundi dalam Kumpulan H bertemu kelab Singapura, Tampines Rovers, wakil Indonesia, PSM Makassar dan kelab dari Myanmar sama ada Shan United atau Ayeyarwady United.

"Dengan pemain yang ada dalam Kuala Lumpur sekarang, saya percaya kita setanding dengan lawan yang ada dalam Kumpulan H.

"Sebelum ini saya pun pernah bersaing di pentas Asia dengan Kedah dan ini tahun kedua dengan Kuala Lumpur pula, jadi saya anggap ia adalah rezeki besar untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:44 PM