ARTETA (kiri) menyaksikannya kehilangan sekurang-kurangnya 14 pemain minggu lalu. FOTO Agensi
ARTETA (kiri) menyaksikannya kehilangan sekurang-kurangnya 14 pemain minggu lalu. FOTO Agensi
Agensi

London: Arsenal yakin masalah kecederaan yang menyebabkan kelab itu meminta menangguhkan pertemuan dengan Tottenham pada aksi Liga Perdana sudah berakhir menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga bertemu Liverpool di Stadium Emirates, Jumaat ini.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menyaksikannya kehilangan sekurang-kurangnya 14 pemain minggu lalu yang menyebabkan Arsenal mengemukakan permohonan kepada Liga Perdana untuk menangguhkan pertemuan dengan Tottenham.

Keputusan itu mengejutkan pengurus Tottenham, Antonio Conte yang nyata kurang senang.

Tempoh kuarantin Martin Odegaard sudah berakhir manakala beberapa pemain termasuk Bukayo Saka, Takehiro Tomiyasu, Calum Chambers dan Cedric Soares tidak mengalami kecederaan serius dan diharap dapat diturunkan.

Arsenal juga sedang menunggu jawapan Gabon mengenai bila Pierre-Emerick Aubameyang boleh dilepaskan untuk kembali ke kelab London itu daripada kempen Piala Negara-Negara Afrika.

Gabon sebelum ini mengumumkan Aubameyang dibenarkan untuk menjalani pemeriksaan perubatan selepas dijangkiti Covid-19.

Meskipun Arsenal kerap berhubung dengan Aubameyang dan menerima pengesahan yang dia berada dalam keadaan sihat, kelab itu masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Gabon.

Sumber dalaman Arsenal juga menafikan dakwaan jurulatih Gabon, Patrice Neveu bahawa kelab itu memberi tekanan kepada mereka untuk melepaskan Aubameyang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:46 PM