ZWAYER ketika mengendalikan perlawanan Dortmund menentang Bayern bulan lalu.
ZWAYER ketika mengendalikan perlawanan Dortmund menentang Bayern bulan lalu.
AFP

Berlin: Pengadil Jerman hari ini mendedahkan dia menerima ugutan bunuh sejak pemain tengah England, Jude Bellingham mengkritiknya ketika Borussia Dortmund menentang Bayern Munich dalam aksi Bundesliga bulan lalu.

"Akaun emel rasmi saya dipenuhi dengan mesej melampau, sukar dipercayai dan saya perlu pandang serius," kata pengadil, Felix Zwayer kepada Sky.

Pengadil berusia 40 tahun dari Berlin itu turut dihubungi polis yang mendedahkan terdapat ugutan bunuh ke atasnya di Internet.

Zwayer tidak mengadili perlawanan sejak 9 Disember, lima hari selepas cara pengadilannya teruk dihentam Bellingham susulan kekalahan 2-3 kepada Bayern di tempat sendiri.

Zwayer menambah ugutan diterimanya turut memberi kesan kepada isterinya.

"Anda membawa beg dan ucapkan selamat tinggal kepada isteri anda di pintu seperti kebiasaannya sejak 15 tahun lalu. Kemudiannya anda lihat linangan air mata di wajahnya," kata Zwayer.

"Bukan kerana dia rindukan saya apabila bertugas tetapi kerana dia bimbang keselamatan saya dan mungkin juga apa yang akan berlaku di rumah ketika saya tiada.

"Situasi ini amat sukar ditangani, secara jujurnya."

Bintang Dortmund, Bellingham didenda 40,000 euro (RM189,000) oleh Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) susulan kritikannya ke atas Zwayer ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Pemain tengah England berusia 18 tahun itu tidak puas hati apabila Bayern diberikan penalti selepas bola terkena tangan Mats Hummels yang membawa kemenangan pasukan lawan.

Sebelum itu, Zwayer meneruskan permainan dan enggan memberikan penalti kepada Dortmund selepas pertahanan Bayern, Lucas Hernandez mengasari Marco Reus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:57 AM