AKSI  Rugani menanduk masuk gol kedua Juventus.
AKSI Rugani menanduk masuk gol kedua Juventus.
AFP

Milan: Juventus mara ke suku akhir Piala Itali selepas menewaskan pasukan tanpa pengurus, Sampdoria awal pagi tadi.

Skuad Massimiliano Allegri akan berdepan Sassuolo atau Cagliari dalam saingan lapan terakhir selepas menang di Stadium Allianz menerusi sepakan percuma Juan Cuadrado pada babak pertama, tandukan Daniele Rugani enam minit selepas rehat, rembatan jarak dekat Paulo Dybala dan penalti Alvaro Morata.

Juve mampu menang lebih besar menentang Sampdoria yang pengurusnya, Roberto D'Aversa dipecat Isnin lalu susulan beberapa keputusan mengecewakan.

Mereka terlepas beberapa peluang terbaik malah jaringan Morata turut dibatalkan selepas VAR mendapati Adrien Rabiot terlebih dahulu mengasari Tomas Rincon.

Lazio pula akan menentang AC Milan di pusingan seterusnya selepas Ciro Immobile meledak jaringan tunggal ketika menentang Udinese di Rome.

Immobile yang mengetuai senarai penjaring terbanyak Serie A dengan 17 gol bersama Dusan Vlahovic muncul wira pada minit ke-106 selepas dia menolak bola masuk hantaran Danilo Cataldi.

Inter Milan menerima kunjungan Empoli awal pagi esok di San Siro manakala Roma berdepan kelab Serie B, Lecce di ibu kota Itali Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 9:30 AM