POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG.
POGBA dikaitkan dengan perpindahan ke PSG.
AFP

London: Ralf Rangnick berjanji tidak akan menyisihkan Paul Pogba walaupun pemain tengah Manchester United itu memberi bayangan mahu meninggalkan Old Trafford.

Kontrak Pogba tamat penghujung musim ini dan belum lagi menandatangani kontrak baharu sejak berpindah dari Juventus pada 2016.

Masa depan pemain berusia 28 tahun itu bersama United menjadi perhatian dengan ejennya Mino Raiola dilaporkan menghubungi Paris Saint-Germain mengenai perpindahan ke Ligue 1 pada musim panas.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu kembali berlatih kali pertama kelmarin sejak mengalami kecederaan betis pada November.

Ketika ditanya sama ada Pogba akan diberi peluang beraksi walaupun kontraknya semakin tamat, Rangnick berkata: "Ya sudah tentu.

"Saya juga menurunkan Nemanja Matic pada aksi terakhir dan kontraknya juga sampai ke penghujung. Malah kontrak saya juga tamat musim panas.

"Setakat ini, kami mempunyai misi yang sama. Untuk berjaya dalam tempoh tiga atau empat bulan selepas ini."

Rangnick berharap dapat menggunakan khidmat Pogba pada aksi pusingan keempat Piala FA menentang Middlesbrough pada 4 Februari.

Berdasarkan kesungguhan Pogba ketika sesi latihan pertamanya, Rangnick menegaskan dia tidak bimbang dengan komitmen bintang Perancis itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke PSG.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 8:33 AM