FERNANDES (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Villa.
FERNANDES (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Villa.
Agensi

London: Bruno Fernandes mahu menjadi antara pemain Manchester United yang mendapat bayaran tertinggi bagi membolehkannya kekal bersama kelab.

Bintang Portugal berusia 27 tahun itu menjaringkan dua gol ketika seri 2-2 dengan Aston Villa pada Sabtu lalu untuk jumlah keseluruhan 33 gol dan 22 bantuan jaringan sejak berpindah ke Old Trafford pada Januari 2020.

Hanya pemain Liverpool, Mohamed Salah (45) dan penyerang Tottenham, Harry Kane (34) meledak lebih banyak gol dalam aksi Liga Perdana dalam tempoh itu.

Fernandes mengikat kontrak lima tahun dengan pilihan lanjutan 12 bulan ketika tiba di United.

Beberapa bulan lalu Fernandes dilaporkan berunding mengenai kontrak baharu khususnya gaji yang mahu dinaikkan sekitar £250,000 (RM1.4 juta) seminggu.

The Athletic mendakwa rundingan itu tergendala selepas wakil bekas pemain tengah Sporting Lisbon itu menolak tawaran dan dijangka disambung semula pada Mei seleps kempen sekarang tamat.

Cristiano Ronaldo muncul pemain United bergaji paling tinggi sekitar £400,000 (RM2.28 juta) seminggu manakala penjaga gol David de Gea £375,000 (RM2.14 juta seminggu). Paul Pogba, Raphael Varane, Anthony Martial, Jadon Sancho, Edinson Cavani dan Marcus Rashford kesemuanya berpendapatan £200,000 (RM1.14 juta) seminggu atau lebih.

Walaupun rundingan antara Fernandes dan kelab terhenti, United kekal tenang berdepan situasi itu.

Dia masih dibawah kontrak sehingga 2025 tetapi mahu gajinya dinaikkan supaya sebaris dengan pemain lain yang berpendapatan lumayan.

United berkunjung ke Brentford pada awal pagi Khamis ini untuk aksi Liga Perdana dan Fernandes berpeluang menunjukkan kepada pengurusan United mengapa gajinya perlu dinaikkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 10:02 AM