DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Bernama
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Bidaan tuan rumah membabitkan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 tetap menjadi antara matlamat utama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan skuad Harimau Malaya mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Namun, disebalik usaha memastikan bidaan memihak kepada Malaysia, jaminan kerajaan cukup penting supaya perlawanan yang berlangsung di negara ini tidak menghadapi sebarang kekangan.

Ini kerana, halangan utama yang menyebabkan bidaan terbabit gagal adalah situasi Covid-19 di negara ini sekali gus menyebabkan terpaksa dibatalkan seperti yang pernah dialami saingan domestik selepas Malaysia diberi hak penganjuran nanti.

Situasi terbabit dikongsi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang berharap kerajaan boleh memberi jaminan bahawa saingan terbabit tidak akan berdepan dengan pembatalan kelak.

"Kita memang berusaha sehabis baik bagi memastikan bidaan ke Kuala Lumpur dapat dijayakan. Tetapi saya mendapat maklumat mungkin faktor kuarantin dan prosedur operasi standard (SOP) itu akan jadi kekangan kepada bidaan kita.

"Kita takut pertandingan (Kelayakan Piala Asia 2023) itu tidak dibenarkan kalau kes tiba-tiba bertambah dan kerajaan kata pertandingan tidak boleh dilangsungkan pada masa itu. Itu yang dikhuatiri berlaku nanti.

"Soal venue tidak jadi masalah ketika ini. Kita nampak mereka (AFC) lebih fokus pada soal sama ada pertandingan itu boleh dilaksanakan di Malaysia dan kepastian mengenai perkara itu.

"Sekiranya dapat jaminan bahawa pertandingan ini akan tetap dilaksanakan, saya ingat kita ada peluang cerah untuk menjadi tuan rumah," katanya.

Terdahulu, badan induk itu tidak mahu berputus asa dalam membida salah satu daripada enam venue berpusat yang akan ditawarkan kepada 24 pasukan yang bertanding dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Setiausaha Agungnya, Saifudddin Abu Bakar berkata menjelaskan bidaan tuan rumah saingan kelayakan itu tetap akan diteruskan berikutan memberi banyak kelebihan dan kebaikan terutamanya dalam menjana pendapatan kepada pihak berkaitan selain merancakkan kembali industri bola sepak negara selepas mengharungi musim 'sendu'.

Dalam perkembangan sama, Yusoff mengakui 'poket' FAM sudah bersedia untuk mengeluarkan berapa sahaja belanja yang diperlukan bagi menganjurkan pusingan kelayakan itu di Kuala Lumpur.

"Kita sudah hantar bidaan jadi apabila kita menghantar bidaan, ini bermakna FAM bersedia dengan apa sahaja kos yang diperlukan untuk membawa pertandingan itu ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 1:06 PM