NEUER (tengah) dan rakan sepasukan ketika meraikan kejayaan memenangi trofi Piala Supercup Jerman, September tahun lalu. FOTO AFP
NEUER (tengah) dan rakan sepasukan ketika meraikan kejayaan memenangi trofi Piala Supercup Jerman, September tahun lalu. FOTO AFP
AFP

Berlin: Empat pemain Bayern Munich termasuk kapten Manuel Neuer serta jurulatih didapati positif Covid-19, kata juara Bundesliga itu.

Penjaga gol, Neuer akan terlepas sesi latihan pertama tahun ini yang dianjakkan dari tarikh asal 2 hingga 3 Januari selepas mengambil kira situasi pandemik ketika ini.

"Manuel Neuer, Kingsley Coman, Corentin Tolisso dan Omar Richards didapati positif Covid-19.

"Mereka semua berada dalam keadaan yang baik, sama juga penolong jurulatih Dino Toppmoeller, yang turut didapati positif. Mereka semua sudah mengasingkan diri," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, Bayern berkata mereka akan kehilangan khidmat pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich selama empat minggu selepas positif wabak itu.

Kimmich mencetuskan perdebatan hangat pada Oktober tahun lalu apabila dia mendedahkan enggan mengambil suntikan vaksin kerana 'kebimbangan peribadi' tetapi bulan lalu berkata dia gembira menerima suntikan itu.

Bayern akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan liga dengan menanti kunjungan Borussia Moenchengladbach, 8 Januari ini yang akan dilangsungkan secara tertutup berikutan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 10:23 AM