CHELSEA muncul juara UCL musim lalu. FOTO AFP
CHELSEA muncul juara UCL musim lalu. FOTO AFP
AFP

London: Juara Eropah, Chelsea mengumumkan kerugian tahunan sebanyak £145.6 juta (RM820.2 juta) sehingga hingga 30 Jun 2021 walaupun mereka memenangi Liga Juara-Juara (UCL).

Kelab London itu dinobatkan raja Eropah pada Mei lalu selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas seteru utama, Manchester City pada final UCL di Porto.

Ketika perolehan mereka meningkat daripada £387.8 juta (RM2.18 bilion) kepada £416.8 juta (RM2.34 bilion) hasil daripada penyiaran, Chelsea berkata mereka masih mengalami kerugian selepas beraksi tanpa penonton kerana Covid-19.

Selain itu pengurangan keuntungan daripada jualan pemain juga menjejaskan akaun kelab itu.

Chelsea terus disokong oleh Fordstam Limited, sebuah syarikat yang dikawal oleh pemilik kelab Roman Abramovich.

Kelab itu berkata, mereka menandatangani tiga pemain iaitu penyerang Romelu Lukaku, penjaga gol Marcus Bettinelli dan pemain tengah Saul Niguez untuk jumlah keseluruhan £109.7 (RM617.6 juta).

Pada masa sama, Chelesa menjual 13 pemain untuk jumlah keseluruhan £103.7 juta (RM584.1 juta).

Abramovich yang juga jutawan Rusia, membeli Chelsea pada 2003 yang kemudian muncul antara kelab paling berjaya termasuk memenangi lima kejuaraan liga dan dua Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:51 AM