WOODLAND bekas pemain Ratchaburi Mitr Phol.
WOODLAND bekas pemain Ratchaburi Mitr Phol.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland menjadi pemain import ketujuh 'dirantai' Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang lebih mencabar musim depan.

Sebelum ini TFC Sdn Bhd sudah mengikat enam pemain import termasuk bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Turut diikat pemain kelahiran Bahrain, Habib Haroon, Jordan Mintah (Ghana), Argzim Redzovic (Montenegro) dan pemain kelahiran Senegal, Pape Diakite.

Woodland yang sebelum ini beraksi bersama kelab Ratchaburi Mitr Phol dalam Liga Thailand dijangka bakal bergandingan dengan Diakite di benteng pertahanan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, pemain berusia 27 tahun kelahiran Abu Dhabi, United Arab Emirates (UAE) itu bakal mengisi kuota Asean.

"Woodland sah menjadi keluarga baharu TFC musim depan, pemain berketinggian 1.83 meter itu akan membarisi benteng pertahanan.

"Pemain yang pernah menyarung jersi Kuala Lumpur pada 2019 itu bersetuju menandatangani kontrak selama setahun dan dia bakal memakai jersi nombor 14.

"Kehadiran pemain berdarah kacukan England-Filipina itu diharapkan dapat memberikan impak yang positif buat pasukan terutama di posisi pertahanan dalam misi memburu kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA selain mengintai peluang beraksi dalam pentas Piala AFC musim 2023," katanya.

Berdasarkan rekod, rakan sepasukan bekas pertahanan TFC, Carli De Murga yang tidak disambung kontrak musim depan meledak satu gol dalam 11 penampilan bersama kelab dalam Liga Thailand itu musim ini.

ESebelum mewakili Filipina, pemain yang boleh beraksi di posisi tengah itu juga pernah menyarung jersi pasukan England Bawah 16, 17 dan 18 tahun sebelum menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Bolton Wanderers pada 2013 hingga 2015 dan kemudian berhijrah ke Filipina pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 3:52 PM