SKUAD Melaka United diperkuatkan beberapa pemain berwibawa musim depan.
SKUAD Melaka United diperkuatkan beberapa pemain berwibawa musim depan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Melaka United boleh memberi ancaman besar kepada pasukan gergasi pada musim depan apabila memperuntukkan dana lebih RM20 juta untuk memperkuat skuad termasuk membawa masuk pemain berstatus bintang.

Pemilik Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Datuk Seri Justin Lim berkata, pihaknya akan menaikkan peruntukan sekali ganda berbanding musim lalu demi memastikan berjaya merealisasikan matlamat berada dalam kedudukan tiga terbaik pada musim depan.

Beliau berkata, peruntukan yang dikeluarkan itu berdasarkan kepada keperluan supaya lebih berdaya saing selain mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan bertaraf gergasi.

Katanya, barisan kejurulatihan akan menilai keperluan membabitkan pemain yang akan dibawa masuk sekali gus akan dilihat terdapat gabungan membabitkan muka baharu dan lama kelak.

"Kita mahu tampil lebih meyakinkan pada musim depan dengan meningkatkan lagi peruntukan kira-kira sekali ganda berbanding pada musim ini. Ada beberapa pemain baharu akan dibawa masuk untuk menguatkan lagi pasukan dan perkara itu akan diumumkan kelak," katanya.

Skuad berkenaan yang cemerlang menyamai rekod mara ke separuh akhir Piala Malaysia 1983 musim ini jelas memberi persembahan membanggakan sebelum tewas kepada Kuala Lumpur City menerusi sepakan penalti pada separuh akhir kedua di Stadium Hang Jebat.

Sebelum ini, skuad Hang Tuah membawa masuk dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli Shas dan Syazwan Andik selain penjaring terbanyak Liga Super musim 2021, Ifedayo Olusegun.

Sementara itu, katanya, beliau mengharapkan sokongan daripada penyokong Melaka United untuk terus berdiri teguh di belakang pasukan apabila saingan liga bermula kelak.

"Saya mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Melaka United dan perkara itu membantu pasukan untuk terus menampilkan aksi meyakinkan pada musim depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 6:11 PM