Pertahanan Arsenal, Kieran Tierney meraikan jaringannya berdepan Norwich. FOTO AFP
Pertahanan Arsenal, Kieran Tierney meraikan jaringannya berdepan Norwich. FOTO AFP
AFP

London: Arsenal mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris selepas membenam Norwich 5-0, awal pagi ini.

Jaringan Bukayo Saka dan Kieran Tierney meletakkan Arsenal kendalian Mikel Arteta selesa di depan sebelum rehat perlawanan.

Saka menambah jaringan sebelum Alexandre Lacazette menyempurnakan sepakan penalti dan pemain gantian Emile Smith Rowe melengkapkan kemenangan kelima berturut-turut Arsenal.

"Kami kelihatan begitu tajam dan komited. Ia kemenangan besar buat kami," kata Arteta.

Spurs melonjak ke tangga kelima, enam mata di belakang seteru London mereka itu, tetapi bermain kurang tiga perlawanan, selepas menewaskan Crystal Palace 3-0.

Palace yang memohon perlawanan ditunda kerana masalah Covid-19 yang melanda skuadnya, dikecewakan oleh Liga Perdana Inggeris dan terpaksa beraksi tanpa pengendalinya Patrick Vieira.

Harry Kane meledak gol liga ketiganya musim ini diikuti tandukan Lucas Moura untuk gol kedua Spurs dan harapan Palace untuk bangkit bertambah sukar selepas Wilfried Zaha dibuang padang sebelum rehat.

Son Heung-min melengkapkan kemenangan Spurs 16 minit sebelum tamat permainan.

Usaha West Ham untuk kembali berada dalam kelompok empat teratas semakin pudar apabila ditewaskan 2-3 di laman sendiri oleh Southampton.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 8:22 AM