Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku meraikan jaringannya. FOTO AFP
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Birmingham, United Kingdom: Romelu Lukaku berkata Chelsea adalah 'pemburu' buat Manchester City untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas dia masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol liga pertamanya sejak September ketika menewaskan Aston Villa 3-1.

Jaringan sendiri Reece James meletakkan Villa di depan, tetapi Jorginho kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti dalam pertembungan membabitkan dua kelab Inggeris yang dihimpit beberapa kes Covid-19.

Lukaku antara pemain Chelsea yang tidak dapat beraksi ketika seri menentang Everton dan Wolves minggu lalu sehingga menyebabkan mereka tercicir dalam persaingan kejuaraan.

Namun dia kembali sebagai pemain gantian di babak kedua dan terus memberikan impak dengan menanduk masuk hantaran lintang Callum Hudson Odoi.

Penyerang Belgium itu membantu mendapatkan penalti kedua Chelsea dalam masa kecederaan yang sekali lagi disempurnakan Jorginho.

"Saya memerlukan persembahan seperti hari ini," kata Lukaku.

"Kami adalah pemburu sekarang. Keputusan sebelum ini kami tidak berada pada prestasi terbaik dan kini kami perlu mengejar.

"Kami harus menganggap setiap perlawanan seperti final. Hari ini kami menang dan kini kami perlu terus memberikan tekanan."

Skuad kendalian Thomas Tuchel kini menyamai kutipan mata Liverpool, yang bermain kurang satu perlawanan, dan kembali berada enam mata di belakang Manchester City yang menewaskan Leicester 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 8:11 AM