NKETIAH (dua dari kanan) ledak hatrik bantu Arsenal ke separuh akhir. -FOTO AFP
NKETIAH (dua dari kanan) ledak hatrik bantu Arsenal ke separuh akhir. -FOTO AFP
AFP

London: Eddie Nketiah berjaya membawa Arsenal ke separuh akhir Piala Liga Inggeris selepas meledakkan hatrik untuk membantu pasukan menewaskan Sunderland 5-1.

Penyerang 22 tahun yang akan tamat kontraknya akhir musim ini dan aksinya itu pasti akan menarik ramai kuasa besar bola sepak menjelang jendela perpindahan Januari ini.

Penampilan pertama Nicolasw Pepe dan Charlie Patino turut cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol buat Arsenal di Stadium Emirates yang masih membenarkan kehadiran penuh penonton.

Arsenal adalah salah satu dari lapan pasukan yang beraksi dalam aksi Liga Perdana pada hujung minggu lalu selepas gelombang kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian Omicron mengganggu kelancaran kalendar bola sepak Inggeris.

Mikel Arteta membuat sembilan pertukaran ke atas skuad yang membelasah Leeds 4-1 hujung minggu lalu, namun ia langsung tidak menjejaskan rentak The Gunners.

Nketiah membuka jaringan pada minit ke-17 selepas tandukan Rob Holding ditampan penjaga gol Sunderland Lee Burge.

Pepe kekal menjadi pemain termahal ditandatangani Arsenal, tetapi kedudukannya digugat prestasi semasa pemain-pemain muda seperti Bukayo Saka, Emile Smith Rowe dan Gabriel Martinelli.

Pemain Ivory Coast itu bagaimanapun memanfaatkan peluang diberikan dengan meledak gol selepas bertukar hantaran dengan Cedric Soares.

Nathan Broadhead merapatkan jurang untuk Sunderland sebelum rehat, tetapi Nketiah kembali melebarkan jurang lima minit selepas permainan bersambung.

Nketiah melengkapkan hatrik dengan menyempurnakan hantaran lintang Pepe menggunakan tumitnya untuk menewaskan Burge.

Arteta memasukkan Patino 10 minit sebelum tamat dan pemain 18 tahun itu melengkapkan kemenangan Arsenal selepas memanfaatkan satu lagi hantaran berkualiti Pepe.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 7:55 AM