STEVEN Gerrard. FOTO AFP
STEVEN Gerrard. FOTO AFP
Agensi

London: Steven Gerrard sempat menyindir Michael Owen apabila bekas rakan sepasukannya itu bertanyakan soalan mengenai kepulangannya semula ke Anfield.

Selaku pengurus Aston Villa, Gerrard kembali ke Liverpool buat kali pertama dalam tempoh enam tahun iaitu kali terakhir membuat penampilan bersama kelab yang disertainya selama 17 tahun itu.

Penyokong Liverpool memberikan penghormatan kepada Gerrard ketika memasuki stadium namun skuadnya tewas 0-1 hasil jaringan Mohamed Salah menerusi sepakan penalti.

Selepas perlawanan itu, Owen yang bertugas di studio stesen televisyen sempat bertanyakan soalan mengenai perasaan Gerrard apabila kembali ke Anfield.

Owen beraksi bersama Liverpool bermula 1997 sebelum berhijrah ke Real Madrid pada 2004.

Dia kemudian menyertai seteru utama Reds, Manchester United lima tahun selepas itu dan mengakui tidak gembira bersama kelab itu.

Owen bertanya kepada Gerrard: "Apakah perasaan anda kembali ke Anfield dan bagaimana perasaan membawa pasukan anda ke kelab yang pernah anda sertai?"

Dengan senyuman sinis, Gerrard membalas: "Jika saya beraksi bersama Man United, saya benci hendak kembali ke sini."

Ia kemudian mencetuskan gelak ketawa besar antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:17 PM