KHAIRULAZHAN (tengah) disahkan bebas dari Covid-19. -FOTO Ihsan FAM
KHAIRULAZHAN (tengah) disahkan bebas dari Covid-19. -FOTO Ihsan FAM
Oleh Firdaus Hashim


Singapura: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) sudah memberi pelepasan buat dua tonggak negara, Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim daripada kuarantin wajib selepas berakhir tempoh pengasingan itu selama 10 hari.

Perkara itu disahkan eksklusif oleh pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Arena Metro di sini hari ini.

Daripada empat itu (yang didapati positif Covid-19), dua sudah mendapat pelepasan untuk keluar dari kuarantin sebab dah habis 10 hari iaitu Khairulazhan dan Mickey (Faisal Halim).

"Ia sudah mendapat kebenaran MOH kerana tempoh mandatori itu dah habis hari ini," katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Begitupun jelasnya, kedua-dua pemain terbabit perlu menjalani satu lagi ujian calitan PCR dan jika didapati negatif petang ini, mereka dijangka boleh menyertai semula pasukan selepas ini.

"Tapi kita masih menanti ujian PCR untuk kedua-dua pemain ini sama ada mereka boleh masuk dalam pasukan atau tidak. Jadi kita harap, ujian ini kalau boleh negatif bagi menguatkan kembali pasukan," katanya.

Ulasnya lagi, sebelum mereka dibenarkan beraksi semula, pihaknya perlu memohon kepada Jawatankuasa Pertandingan Piala AFF untuk membenarkan kedua-duanya menyertai pasukan.

"Pada saya selepas kuarantin habis 10 hari dan keputusan PCR negatif, pada pandangan saya tak ada masalah untuk mereka bersama pasukan semula.

"Tapi apapun, permohonan kena buat kepada penganjur. Mungkin yang jadi kebimbangan sikit mengenai proses permohonan itu takut lambat dan mengambil masa.

"Sebab pasukan perlu bersedia sepenuhnya sebelum lawan Indonesia 19 Disember nanti. Namun kita akan mohon secepat mungkin selepas dapat keputusan PCR nanti."

Terdahulu, empat pemain Malaysia disahkan positif bermula dengan penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan tonggak sayap, Faisal Halim sebaik tiba di sini pada 4 Disember lalu.

Kem negara bertambah parah apabila dua lagi pemain dijangkiti iaitu Akhyar Rashid dan Quentin Cheng. Pemain yang didapati positif perlu menjalani proses pengasingan selama 10 hari di bilik hotel masing-masing sehingga diuji negatif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 12:55 PM