SALAH ledak gol tunggal Liverpool. -FOTO EPA
SALAH ledak gol tunggal Liverpool. -FOTO EPA
AFP

Liverpool: Mohamed Salah menjaringkan gol tunggal buat Liverpool untuk mengganggu kepulangan Steven Gerrard ke Anfield sebagai pengurus Aston Villa ketika Reds, Manchester City, Chelsea dan Manchester United memerlukan sepakan penalti untuk menang dalam saingan Liga Perdana awal pagi tadi.

City menewaskan Wolves yang bermain dengan 10 pemain 1-0 hasil jaringan Raheem Sterling manakala Chelsea memerlukan dua penalti dari Jorginho untuk mengatasi Leeds 3-2 dan Cristiano Ronaldo memastikan United tidak dimalukan apabila menang 1-0 berdepan pasukan tercorot liga, Norwich.

Gerrard menerima sambutan hangat di Anfield ketika bekas kapten Liverpool itu berdepan dengan bekas pasukannya buat pertama kali dalam kariernya sebagai jurulatih.

"Saya terpaksa terima ia akan menjadi satu yang emosi buat saya dan keluarga," kata Gerrard.

"Bagi saya, saya cuba untuk mengawal keadaan, cuba mengawal keadaan bising di luar dan menghormati Aston Villa."

Villa sukar untuk mengawal tapi bertahan dalam perlawanan hasil kekentalan barisan pertahanan, kawalan gawang yang baik oleh Emiliano Martinez dan keputusan pengadil Stuart Attwell, yang menolak dua rayuan penalti oleh Liverpool pada babak pertama.

Bagaimanapun, Gerrard gagal mengelak penalti ketiga apabila Tyrone Mings menjatuhkan Salah dalam kotak penalti 25 minit sebelum tamat.

Salah meledak gol ke-21 dalam 22 perlawanan musim ini bagi memastikan Liverpool kekal hanya satu mata di belakang City di persada liga.

"75 minit pertama adalah bola sepak yang menakjubkan," kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.

"Kami bermain di tempat kami mahu bermain tetapi kami tidak menamatkan situasi itu yang penuh muslihat."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 8:17 AM