DE Paula gigih memanaskan badan sebelum menentang Laos.
DE Paula gigih memanaskan badan sebelum menentang Laos.
Firdaus Hashim


Singapura: Siapa kata penyokong Harimau Malaya 'bengang' dengan Guilherme de Paula! Ini kerana sepanjang aksi Malaysia menentang Laos di Stadium Bishan menyaksikan penyokong sentiasa meluangkan nama penyerang naturalisasi negara itu.

Hampir 200 peminat yang hadir mahukan pengendali negara, Tan Cheng Hoe memasukkan De Paula khususnya selepas pasukan mendahului 2-0 pada babak pertama.

Akhirnya harapan menggunung penyokong tegar Harimau Malaya itu menjadi kenyataan apabila pemain kelahiran Brazil itu dimasukkan pada minit ke-81 bagi menggantikan Safawi Rasid.

Kemasukan De Paula mendapat tepukan gemuruh peminat di stadium dan ayam tambatan Johor Darul Ta'zim (JDT) sempat 'berpeluh' sebelum aksi ditamatkan oleh pengadil, Ammar Ebrahim Hasan dari Bahrain.

Malah, sejurus berakhir perlawanan, bekas pemain Selangor, Kuala Lumpur dan Perak itu berdiri paling depan memimpin nyanyian lagu Negaraku yang didendangkan penyokong di stadium.

Sebenarnya tidak semua penyokong Malaysia yang marah terhadapnya dan itu dibuktikan dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala AFF di sini.

Apapun, De Paula harus meningkatkan lagi prestasinya selepas beberapa penyerang tempatan mula mempamerkan taring dengan Safawi Rasid meledak hatrik membantu pasukan membelasah Laos 4-0.

Aksi terbaik Luqman Hakim Shamsudin dan Shahrel Fikri di jentera serangan ketika ini, perlu diambil serius oleh De Paula bagi merebut kembali posisinya untuk baki dua lagi aksi Kumpulan B menentang Vietnam dan Indonesia.

Hasil kemenangan besar ke atas Laos itu, skuad negara kini memimpin carta kumpulan dengan enam mata selepas turut meraih tiga mata ke atas Kemboja, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 10:10 PM