Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Impact Media Communication (IMC) sebagai proses pengambilan sepenuhnya saham Perak FC.

Naib Presiden Pafa, Datuk Seri G Irudianathan berkata, rundingan itu mengambil tempoh selama dua minggu sebelum menandatangani perjanjian jual beli.

''Menerusi MoU ini IMC akan diberi kuasa untuk mendapatkan maklumat di Perak FC. ''Kami akan duduk dan berbincang, selepas itu baru kita buat perjanjian jual beli,'' katanya pada sidang media selepas majlis MoU berkenaan di Hotel Impiana di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Irudianathan yang juga Pemangku Setiausaha Kehormat Pafa mewakili badan induk bola sepak negeri itu manakala IMC pula diwakili pengerusinya, Khairul Mahmood.

Irudianathan berkata, pihaknya optimis pengambilalihan itu akan dapat direalisasikan meskipun ketika ini berdepan dengan pelbagai kemelut dan juga tunggakan tiga bulan gaji pemain.

Sementara itu, Khairul berkata, melalui usaha itu pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan pelbagai kemelut yang dihadapi Pafa dan pemain.

G IRUDIANATHAN  (dua dari kanan) bergambar bersama Khairul Mahmood (dua dari kiri) ketika majlis menandatangani  MoU hari ini. FOTO Bernama
G IRUDIANATHAN (dua dari kanan) bergambar bersama Khairul Mahmood (dua dari kiri) ketika majlis menandatangani MoU hari ini. FOTO Bernama

''Keutamaan kepada kami sekarang ialah untuk menyelesaikan masalah sama ada di peringkat gaji, atau apa sahaja permasalahan yang menjadi beban kepada Pafa dan juga pemain.

''Selepas itu baru saya boleh membentangkan perancangan Perak FC untuk kekal dalam pasaran,'' katanya.

Khairul turut mengulas apabila ditanya berhubung pelbagai isu yang timbul sehingga membuatkan ramai pemain angkat kaki daripada skuad The Bos Gaurus itu. ''Keutamaan adalah untuk menyelesaikan apa tunggakan yang ada pada pemain, selagi benda itu belum selesai kami tidak boleh membuat tawaran atau memberi jaminan kepada pemain yang ada ini.

''Sebagai pemain profesional, pemain berhak untuk membuat pilihan masing-masing untuk angkat kaki atau tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 6:10 PM