KEPUTUSAN ujian RT-PCR Khairulazhan diketahui esok.
KEPUTUSAN ujian RT-PCR Khairulazhan diketahui esok.
Firdaus Hashim dari Singapura


JUMAAT ini hari 'keramat' buat penjaga gol utama negara, Khairulazhan Khalid sama ada akan terus bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF atau tidak bakal diputuskan pada hari itu.

Tindakan menghantar pulang Khairulazhan bergantung sepenuhnya kepada keputusan RT-PCR Covid-19 yang akan dilakukan hari ini.

Keputusan ujian berkenaan dijangka diketahui esok dan sekiranya didapati masih positif, kem negara terpaksa menyenaraikan pemain baru bagi menggantikan penjaga gol Selangor FC itu.

Menurut jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, pihaknya terpaksa menghantar pulang Khairulazhan jika beliau mahu memanggil penjaga gol mengikut seperti mana peraturan pertandingan yang hanya boleh menyenaraikan tiga penjaga gol dalam satu-satu kejohanan.

Malah, permohonan pertukaran pemain di posisi berkenaan juga sudah diluluskan oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di mana Cheng Hoe dibenarkan menukar penjaga gol dan perlu menghantar pulang yang digugurkan.

"Kita sentiasa berhubung dengan pihak MOH (Kementerian Kesihatan Singapura) di sini untuk dapatkan nasihat dan pandangan mengenai pemain kita. Ya, esok atau lusa akan dapat keputusan RT-PCR dia (Khairulazhan). Lepas itu kita akan lihat penggantinya," kata Cheng Hoe ketika dihubungi Arena Metro di sini.

Malah, dalam sidang media hari yang sama juga, Cheng Hoe mengulangi harapan agar keputusan ujian Covid-19 bekas penjaga gol Pahang itu negatif.

"Dalam peraturan, apabila kita buat pertukaran Khairulazhan kepada pemain yang satu lagi, Khairulazhan tidak akan bersama dengan skuad. Jadi kita masih lagi tunggu satu hari atau dua hari untuk buat keputusan dan kita mengharapkan beberapa ujian melalui RT-PCR itu negatif, kita memang nak dia boleh bersama pasukan," katanya.

Sebelum ini, Khairulazhan dan pemain sayap, Faisal Halim didapati positif dan kedua-duanya diarahkan untuk diasingkan bagi menjalani tempoh kuarantin kendiri selama 10 hari bermula Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kem negara hanya mahu menukar penjaga gol memandangkan ketika ini skuad kebangsaan hanya memiliki dua pemain di posisi itu, Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz yang dibimbangi boleh berisiko berdepan penggantungan atau kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 5:22 PM