KHAIRULAZHAN Khalid. FOTO FAM
KHAIRULAZHAN Khalid. FOTO FAM
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua pemain Harimau Malaya, Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim yang didapati positif Covid-19 masih ada harapan untuk beraksi pada perlawanan Piala AFF 2021.

Ini kerana, jika ujian calitan pemain berkenaan selepas ini disahkan negatif, mereka sebenarnya masih boleh beraksi walaupun peringkat awal saringan disahkan positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar yang memaklumkan tindakan selanjutnya bergantung kepada keputusan dibuat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

"Kedua-dua pemain ini sebenarnya bukan dikuarantin tetapi mereka sedang menjalani isolasi. Ini bermakna kalau hari ini mereka didapati negatif, mereka boleh sertai pasukan dengan kadar segera.

"Ada potensi untuk main balik. Kalau mereka negatif, mereka boleh mereka boleh sambung bersama pasukan kebangsaan.

"Bergantung kepada Cheng Hoe. Ini pilihan untuknya dan dia juga akan buat keputusan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Barangan Rasmi Edis Kedua Harimau Malaya X Al-Ikhsan, sebentar tadi.

Sebelum ini, skuad negara dikejutkan dengan berita dua pemain, Faisal dan Khairulazhan positif Covid-19 selepas ujian calitan di Singapura dikeluarkan.

Sementara itu, Mohd Saifuddin juga menjelaskan ketika ini hanya Cheng Hoe yang memiliki 'kuasa veto' dan pelbagai aspek perlu diambil kira.

"Kita serahkan kepada Cheng Hoe sebab ini perancangan dia. Kita pun kena faham yang proses kemasukan 'orang baru' ini pun akan memakan masa.

"Kita kena dapatkan kelulusan daripada kerajaan Singapura dan di sana nanti, pemain itu kena lakukan ujian PCR serta menjalani isolasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:21 PM