DE Paula diturunkan pada perlawanan semalam. FOTO FAM
DE Paula diturunkan pada perlawanan semalam. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beraksi dengan hanya seorang pemain kacukan dan naturalisasi membuktikan skuad Harimau Malaya mampu mencipta kejayaan walaupun dibarisi rata-rata tonggak tempatan.

Berdasarkan kepada perlawanan menentang Kemboja semalam, skuad Harimau Malaya beraksi tanpa pemain kacukan dan naturalisasi dalam tempoh 20 minit sebelum saingan tamat.

Namun mereka mampu mengekalkan corak permainan selain mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Pada perlawanan terbabit, Junior Eldstal dikeluarkan pada separuh masa pertama sebelum digantikan dengan pemain muda, Mukhairi Ajmal manakala Guilherme de Paula pula ditukarkan 20 minit sebelum saingan tamat dengan Luqman Hakim Shamsuddin.

Pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, semangat juang tinggi yang dipamerkan semua pemain membolehkan pasukan mengecapi kejayaan pada perlawanan pertama Piala AFF.

Beliau berkata, status pemain sama ada kacukan atau naturalisasi sebenarnya bukanlah penentu kejayaan, namun lebih kepada keupayaan pemain dalam mengekalkan corak permainan di atas padang.

"Saya boleh katakan semangat juang mereka tinggi kerana datang pada perlawanan kali ini untuk menang dan mentaliti itu ada pada setiap pemain.

"Tidak kiralah, ada pemain naturalisasi atau kacukan dalam pasukan namun jika berada atas padang, mereka mahukan kemenangan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:23 PM