Pemain Dortmund, Jude Bellingham (kanan) cuba menghalang penyerang Bayern Robert Lewandowski pada aksi Bundesliga. FOTO EPA
Pemain Dortmund, Jude Bellingham (kanan) cuba menghalang penyerang Bayern Robert Lewandowski pada aksi Bundesliga. FOTO EPA
Agensi

Berlin: Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) menjalankan siasatan berhubung kenyataan pemain tengah England, Jude Bellingham mengenai pengadil, Felix Zwayer selepas Borussia Dortmund tewas 2-3 kepada Bayern Munich.

Bellingham, 18, mempersoalkan perlantikan Zwayer yang merujuk kepada penggantungan enam bulan kerana skandal mengatur perlawanan pada 2005.

Zwayer menolak rayuan Dortmund untuk mendapatkan penalti sebelum memberikan lawan mereka penalti kerana bola didakwa terkena tangan Mats Hummels.

Robert Lewandowski menyempurnakan penalti untuk memastikan kemenangan Bayern.

Bercakap kepada Viaplay, Bellingham berkata: "Anda memberikan pengadil yang pernah terbabit dalam mengatur perlawanan sebelum ini bagi mengadili perlawanan terbesar di Jerman. Apa yang anda harapkan?"

Kemenangan Bayern dalam aksi Der Klassiker pada Sabtu menyaksikan mereka mengatasi empat mata daripada Dortmund di kedudukan teratas Bundesliga.

"Bagi saya, ia tidak sepatutnya diberikan penalti. Dia [Hummels] tidak langsung melihat bola dan dia berusaha untuk menghalang asakan lawan," tambah Bellingham.

"Anda boleh melihat daripada beberapa keputusan dalam perlawanan terbabit."

Jawatan kuasa khas DFB sudah menulis surat kepada Bellingham dan mahu pemain itu memberikan penjelasan mengenai kenyataannya itu secepat mungkin.

Selepas mendapat maklum balas Bellingham pihak jawatan kuasa akan menilai dan mengambil tindakan yang akan diambil.

Dortmund berada "100%" di belakang Bellingham, menurut pengarah sukannya, Michael Zorc.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:06 PM