Pemain naturalisasi negara Guilherme de Paula
Pemain naturalisasi negara Guilherme de Paula
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan pertama Piala AFF membabitkan Malaysia menentang Kemboja dengan keputusan memihak kepada pasukan kebangsaan 3-1 menyaksikan insiden 'pelik' apabila secara tiba-tiba pemain naturalisasi negara Guilherme de Paula naik 'hantu'.

Kejadian terbabit yang menarik perhatian ramai penyokong di Stadium Bishan petang semalam apabila De Paula bertindak membalingkan botol minuman di bangku simpanan sebaik digantikan dengan tonggak muda negara Luqman Hakim Shamsuddin.

Tidak cukup dengan perbuatan itu, dia turut dilihat memberikan satu 'renungan tajam' kepada penyokong Malaysia yang memberikan tepukan gemuruh kepada pemain itu.

Situasi terbabit dikongsi wakil ESPN FC Gabriel Tan menerusi ciapan di twitternya yang dilihat perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain naturalisasi terbabit.

"Guilherme de Paula kurang gembira ketika digantikan, entah mengapa dia dilihat merenung tajam penyokong Malaysia yang memberikan tepukan gemuruh kepadanya, sebelum membaling botol air di bangku simpanan."

Pada perlawanan petang semalam, De Paula diturunkan dalam kesebelasan utama skuad negara sebelum dia dikeluarkan pada minit 65 sekali gus menyaksikan jentera serangan Harimau Malaya lebih rancak dalam mengatur serangan.

Malaysia memulakan kempen Piala AFF mengatasi Kemboja, 3-1 menerusi jaringan Safawi Rasid pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti, Akhyar Rashid (minit ke-61) dan R Kogileswaran (minit ke-79) sebelum Kemboja menjaringkan gol saguhati di penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh bek kiri mereka, Sath Rosib.

Sementara itu, Pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe memaklumkan bahawa situasi berkenaan mungkin disebabkan De Paula kecewa tidak dapat menjaringkan gol pada pertemuan menentang Kemboja itu.

"Sebagai jurulatih kita akan uruskan perkara ini. Pastinya dia sudah memberikan yang terbaik dalam latihan dan sangat komited tetapi kadang-kadang disebabkan oleh kecewa mendapatkan jaringan.

"Saya yakin de Paula cukup matang untuk mengawal situasi ini, dan saya harap dia akan memberikan motivasi yang baik, contoh kepada pasukan. Saya percaya dia bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 1:19 PM