Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez (dua kanan) mengetuai sesi latihan pasukan. FOTO EPA
Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez (dua kanan) mengetuai sesi latihan pasukan. FOTO EPA
AFP

Madrid: Barcelona sekali lagi terpaksa bergantung pada keajaiban ketika skuad kendalian Xavi Hernandez memburu kemenangan di Bayern Munich pada awal pagi Khamis ini untuk mara dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Empat minggu selepas perlantikan Xavi, Barca mengalami kekalahan pertama mereka di bawah bimbingan jurulatih baru ketika jaringan tunggal pemain Real Betis, Juanmi pada Sabtu lalu menambah derita skuad Camp Nou dalam saingan La Liga.

Xavi tiba dengan reputasi sebagai bekas ikon pemain tengah kelab itu dan anak didik Pep Guardiola.

Ramai berpendapat Xavi masih memerlukan masa mengubah nasib Barca untuk kembali bersaing dalam merebut kejuaraan selepas kehilangan khidmat bintang sensasi Argentina, Lionel Messi.

Barca harus menyalahkan diri sendiri selepas gagal memanfaatkan peluang mencatat kemenangan ke atas Benfica bulan lalu untuk memiliki peluang lebih cerah mara ke peringkat kalah mati.

Kedudukan seri tanpa jaringan dalam Kumpulan E itu membuatkan Barca terpaksa menanti perlawanan berdepan Bayern untuk mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Bayern yang sudah mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan mungkin akan menurunkan barisan pemain simpanannya, sekali gus membuka peluang buat Barca untuk mengutip mata penuh.

"Tumpuan kami adalah untuk menang di sana. Tidak ada pilihan lain. Jika kami mengutip tiga mata, kami akan berada dalam kelompok 16 terakhir.

"Jika tidak, kami terpaksa mengharapkan keputusan perlawanan lain, tetapi kini peluang berada di tangan kami," kata Xavi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 12:37 PM