AKSI lincah Akhyar (tengah) pada perlawanan hari ini. FOTO FAM
AKSI lincah Akhyar (tengah) pada perlawanan hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain sayap negara, Akhyar Rashid mengakui bertambah bersemangat menjelang aksi seterusnya dalam kempen Piala AFF di Singapura selepas berjaya membantu Malaysia meraih kemenangan pertama 3-1 ke atas Kemboja, hari ini.

Dia yang beraksi cemerlang dengan kerap mengucar kacirkan benteng pertahanan Kemboja turut meledak satu gol disamping menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan negara.

Malah, Akhyar juga turut diumum sebagai pemain terbaik perlawanan sejurus aksi itu berakhir.

"Syukur Alhamdulillah untuk pasukan dan permainan untuk sendiri. Apa yang penting kami sudah buat yang terbaik dan beri 100 peratus apa yang jurulatih katakan.

"Jadi hari ini pada mulanya agak sukar untuk kami sesuaikan keadaan padang, tapi babak kedua kami ubah segalanya, jadi Alhamdulillah menang.

"Ini pembakar semangat untuk perlawanan yang akan datang dan saya gembira persembahan kami petang ini," kata pemain Johor Darul Ta'zim itu.

Dalam aksi di Stadium Bishan, Singapura itu, skuad negara meraih gol pertama sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-23 selepas Akhyar dijatuhkan dalam kotak penalti.

Kelincahan Akhyar nyata sukar untuk dihalang pertahanan Kemboja apabila dia meledak gol kedua pada minit-61 selepas bijak memperdaya dua pertahanan lawan sebelum melepaskan percubaan leret yang gagal ditampan Keo Soksela.

R Kagileswaran melengkapkan malam gemilang Malaysia menerusi gol ketiga sebelum Kemboja meraih gol saguhati di hujung permainan menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 8:06 PM