SOMERVILLE ketika beraksi bersama Penang FC. FOTO Danial Saad
SOMERVILLE ketika beraksi bersama Penang FC. FOTO Danial Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah kemungkinan penjaga gol kacukan, Samuel Somerville bakal dipanggil bagi menggantikan Khairulazhan Khalid yang kini terpaksa diketepikan berikutan pandemik Covid-19?

Persoalan itu timbul susulan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disahkan sudah menghantar permohonan pertukaran penjaga gol kepada AFF semalam.

Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar, berkata, berdasarkan peraturan pertandingan sama ada di peringkat Fifa mahupun AFC, posisi penjaga gol mempunyai keistimewaan di mana pertukaran pemain boleh dilakukan jika berlaku kes di luar jangka.

Katanya, FAM sudah menghantar permohonan kepada AFF yang juga penganjur Piala AFF yang sedang berlangsung di Singapura ketika ini susulan kehilangan khidmat penjaga gol utama, Khairulazhan dan tonggak sayap, Faisal Halim ekoran positif Covid-19.

"Kita dah mohon semalam kepada AFF untuk menukar penjaga gol kerana ada pemain kita yang disahkan Covid-19.

"Pertukaran penjaga gol ini lain daripada pemain dari posisi lain. Mengikut peraturan pertandingan di peringkat antarabangsa memang boleh tukar walaupun kita dah daftar tiga penjaga gol.

"Bila jadi kes luar jangka seperti Covid-19 ini saya kira kita boleh mohon. Kita memang nak ganti penjaga gol sahaja buat ketika ini," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, Somerville yang bakal menyertai pasukan Selangor FC musim depan pernah dipanggil ke pasukan kebangsaan ketika Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lalu.

Kelmarin, kem negara dikejutkan dengan perkhabaran kurang enak selepas dua tonggak Harimau Malaya didapati positif Covid-19.

Dua pemain berkenaan adalah Khairulazhan dan Faisal dengan kedua-duanya kini sedang menjalani proses kuarantin selama 10 hari.

Ketiadaan dua pemain itu pasti merencatkan sedikit perancangan Cheng Hoe untuk menghadapi kempen kali ini di mana mereka boleh dianggap sebagai tonggak utama Harimau Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:43 PM